Wednesday, November 10, 2010

Orang Jerman Minat Makyong


gambar pinjam 


TAK kenal maka tak cinta. Itulah dapat diperkatakan mengenai respon penggiat seni Eropah terhadap seni makyung dari Kelantan. Bagi mereka, pementasan yang disaksikan itu ibarat jatuh cinta pandang pertama.


Tidak dapat dinafikan, orang paling gembira dalam hal ini adalah penggiat seni dan pejuang makyung, Rosnan Rahman dan rakannya, Norsiah Mohd Yatim. 


Rosnan, penggiat seni yang berasal dari Pokok Sena, Kedah itu menimba satu pengalaman baru apabila diberi peluang menjayakan pelancaran Coffee Table makyung di Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) di Jerman, baru-baru ini.

Rosnan, 38, ketika ditemui Harian Metro, sekembalinya dari Jerman, baru-baru ini berkata, sambutan yang diterima daripada khalayak seni di sana termasuk peminat buku dan penyanyi opera Jerman cukup menggalakkan.



“Bagi saya, kita tidak perlu masa lama untuk mengetahui sama ada mereka berminat atau sebaliknya. Sekalipun demonstrasi makyung saya itu hanya 25 minit bersama empat pemuzik, ia sudah memadai membuat orang luar kagum. Mereka nampak sungguh tertarik pada lenggok tarian, kostum dan lagu yang kita persembahkan.


“Ramai penggiat seni Eropah menghadiri pesta buku terbesar dunia itu begitu berminat untuk mengenali makyung. Paling mengejutkan ada penyanyi soprano klasikal terkenal di Jerman mahu menyanyikan lagu makyung. Mereka hairan kerana tidak pernah melihat keunikan ada pada salah satu cabang seni tertua di Malaysia itu.

“Penerimaan itu memberikan petanda baik terhadap perkembangan seni warisan kita. makyung perlu diselamatkan dan diperluaskan pengaruhnya. Kalau orang luar berbangga melihat seni budaya Melayu, kita apalah lagi.

“Mereka bangga apabila mengetahui latar belakang makyung daripada buku yang kita lancarkan dan tertarik dengan reputasinya sebagai seni lakon dan tarian bagi golongan bangsawan dan elit pada zaman dulu,” kata Rosnan.

Beliau amat berharap dapat meneruskan kesinambungan pementasan makyung ke Jerman lagi atau mana-mana negara di Eropah sekiranya ada pihak sudi menyokong misi itu.

“Bahasa bukan masalah kerana seni bercakap dalam satu bahasa yang global. Apapun kita masih bekalkan mereka sari kata bahasa Inggeris pada projektor khas,” katanya.

Pementasan baru-baru ini adalah julung kali buat Rosnan yang juga penggiat seni Seri Nilam di Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur. Ia juga mendapat sokongan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Pada pesta buku tahun ini, ITNM melancarkan buku Coffee Table 160 muka surat bertajuk Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia selepas sambutan baik masyarakat di sana terhadap kartun Lat dan Hang Tuah sebelum ini.

Makyung berada dalam kategori Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity (Warisan Tak Ketara) yang mendapat pengiktirafan Unesco pada 25 November 2005.

Rosnan, satu-satunya pelakon teater lelaki aktif di negara ini berkata, penerimaan orang luar terhadap makyung sangat baik membuatkan dirinya merasakan pementasan kesedaran penonton dan peminat di Malaysia perlu dipertingkatkan.

“Makyung mendapat sambutan baik luar negara sedangkan penggiat seni kita masih tercari-cari tapak untuk mengenengahkan teater tradisi itu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya harap pengiktirafan makyung mencapai tahap lebih cemerlang.

“Saya kecewa kerana pengiktirafan makyung sering disalah erti, ada menganggapnya ketinggalan zaman, kaku dan bosan. Hakikatnya, nilai kesenian tersirat di sebalik makyung tidak terdapat pada mana-mana tempat di dunia ini.

“Jika negara Eropah terus menyanjung pelbagai teater, muzik Baroque, klasikal atau peralatan muzik tradisi, mengapa kita tidak boleh melakukan perkara sama?” katanya.



sumber metro


Nota Getah : orang kelantan pon tak boleh menguasai makyung kalau tak kena anginnya...huhuhuu


**Makyung berasal daripada perkataan Mak Hiang yang membawa maksud semangat padi. Ia merupakan persembahan dramatari tradisional Melayu Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik. lagi..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...