Thursday, November 11, 2010

Hantu mudah masuk rumah kita



Hantu mudah masuk rumah kita 

- ABD JALIL ALI

Apa yang terjadi di Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang dua hari lalu, boleh berulang di mana sahaja, pada bila-bila masa. Berita sedih itu disiarkan dalam kebanyakan media, termasuk pada waktu perdana beberapa stesen TV. 

Seorang pemuda 23 tahun dipercayai menuntut ilmu sesat dan terpengaruh dengan buku mengenai makhluk halus, telah menetak sehingga mati ibu kandungnya berusia 57 tahun. Dia menggunakan kapak pemotong buah sawit menetak kepala warga emas itu sehingga terkeluar cebisan otak. 

Ketika disiasat polis, remaja tersebut memberitahu bahawa ibunya telah lama mati, dan hanya tinggal jasad yang dihantui saka dan santau. Suspek berkenaan juga memberitahu bahawa dirinya umpama toyol. Bapa suspek mengakui anaknya yang positif dadah itu berubah perangai sejak membaca banyak buku-buku tahayul, dan selalu bercakap seorang diri. 

Bagi sesetengah orang membaca – juga menonton – bahan-bahan misteri dan tahayul hanya sebagai hiburan. Tetapi, bukan tidak mungkin bahan-bahan seperti itu boleh mempengaruhi sesetengah orang. Pengaruh negatif itu sekiranya berterusan, pasti memudaratkan. Maka, ada baiknya bahan-bahan seperti itu tidak dibiarkan berleluasa. Perlu ada sedikit kawalan. 

Sekiranya kes ini boleh dijadikan contoh, jelas sekali buku tahayul yang dibacanya memberi kesan negatif. Antara perkara tahayul yang telah meresap dalam fikirannya ialah dia sebagai toyol, dan jasad ibunya dihantui saka. Hari demi hari perkara itu masuk dalam jiwanya. Adalah amat malang sekiranya benar pengaruh tahayul itulah yang mendorong dia melakukan jenayah. 

Jangan pandang ringan, tahayul dan misteri tidak hanya mempengaruhi kanak-kanak dan remaja, tetapi boleh meresap juga ke jiwa orang dewasa. Malah orang berilmu dan berkedudukan tinggi pun boleh terpengaruh. Buktinya kisah misteri Siti Balqis di Besut, Terengganu, berjaya memperdaya sekian ramai orang termasuk yang bergelar YB. 

Dalam era ICT yang serba canggih ini, benda-benda seperti tahayul, misteri, hantu, orang halus, penunggu banglo kosong dan spesies yang setaraf dengannya, sepatutnya sudah dibuang jauh dari fikiran orang kita. Sepatutnya jangan pandang belakang, kita harus ke depan. Malang sekali, ketika orang lain sibuk dan bekerja keras merealisasikan NKRA, KPI, GTP, DEB, 1M dan sebagainya, kita sibuk memburu hantu. 

Tidak sahaja menerusi buku dan majalah, beraneka jenis hantu dan puaka kini masuk ke rumah kita setiap hari, menerusi TV. Sebuah stesen TV popular menyiarkan program khas setiap minggu, dengan fokus mengenai perkara-perkara misteri. Program yang telah berjalan sejak beberapa tahun ini adalah antara yang paling tinggi peminatnya. 

Ada juga stesen TV menyediakan krew penyiasat dan pakar khusus mencari hantu. Pantang ada rumah kosong atau busut yang luar biasa sedikit bentuknya, pasti akan ada krew dengan peralatan ‘canggih’ untuk mengesan benda-benda ghaib. Tetapi, sehingga kini belum ada hantu atau makhluk halus yang betul-betul dapat ditangkap atau dirakamkan. Mungkin hantu lebih canggih. 

Pada hemat saya stesen-stesen TV tidak perlu menonjolkan sangat hal-hal ghaib. Dulu-dulu kita bimbang penonton, terutama para remaja, terpengaruh dengan seks dan keganasan yang ditayangkan saban hari di TV. Walaupun ada banyak tentangan dari NGO dan tokoh-tokoh masyarakat termasuk ulama, bahan-bahan kuning itu terus disiarkan tanpa batas hingga hari ini. Pemilik stesen TV tidak percaya bahawa meningkatnya kadar jenayah antara puncanya ialah menonton filem-filem ganas. 

Kini TV kita berlumba pula dalam hal-hal tahayul. Drama dan siri misteri menjadi menu harian stesen-stesen TV kita. Malam ini ada puntianak, esok ada saka, lusa cerita mayat balik ke rumah, tulat kisah hantu pocong. Pendek kata ada sahaja filem seram di TV kita, sama ada yang diimport atau yang diterbitkan dalam negeri. 

Menjadi perkara biasa dalam program dan siri-siri seram seperti itu, antara yang ditonjolkan ialah peranan bomoh, dukun dan lain-lain pengantara yang dikatakan dapat menyelesaikan atau mengubati masalah misteri. Bomoh dan pengamal perubatan tradisional dikatakan dapat memujuk dan menghalau makhluk halus dengan jampi serapah dan dengan ayat-ayat al-Quran. 

Biasa ditonjolkan juga dalam siri-siri seram itu peranan orang agama – selalunya disebut ‘ustaz’ – untuk menyelesaikan kes-kes yang tidak dapat ditangani oleh bomoh dan dukun biasa. Ustaz dengan kemahiran batin dan ilmu agama yang mereka ada digambarkan sebagai orang yang akhirnya berjaya mengatasi masalah-masalah misteri ini, termasuk menangkap jin. 

Malah, sesetengah ustaz menulis buku menceritakan pengalamannya mengembara di alam ghaib. Mereka mendakwa boleh berkomunikasi dengan makhluk halus termasuk jin. Pengalaman itu ditulis untuk menjadi panduan kepada masyarakat. Bukankah panduan sebenar mengenai perkara-perkara ghaib ini telah dijelaskan dalam al-Quran? 

Bukanlah saya menidakkan ilmu halus dan kemahiran lain yang ada pada sesetengah ustaz. Tetapi pada hemat saya peranan ustaz dalam masyarakat moden yang serba mencabar lagi serba ICT ini, tentulah lebih besar dari sekadar menangkap jin, atau memburu orang bunian!

sumber sinar harian

Ingat lagi tak cikliyana pernah ngepek (bising) pasal cerita hantu kat tv ni...adehhh lah!! kalau lupa tengok balik entry ni..
HANTU KAT UNIVERSITI

HANTU DOMINASI TV KITA

1 comment:

Anonymous said...

ishh..smpai tetak mak sndiri..mmg berhantu la...terlalu taksub dgn benda2 mcm ni..sbb tu terpengaruh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...